Tiada aktiviti lumba haram dalam skala besar di Pulau Pinang

Tiada aktiviti lumba haram dalam skala besar dikesan di Pulau Pinang

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mendapati tiada sebarang aktiviti lumba haram dalam skala besar dianjurkan oleh mana-mana pihak selepas kejadian kemalangan di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu yang meragut lima nyawa Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, selepas kejadian kemalangan itu, polis dan agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa menjalankan pemantauan bagi mengekang aktiviti lumba haram.

“Selepas kejadian kemalangan berkenaan, pihak kami sentiasa memantau perkembangan melibatkan kegiatan lumba haram, kita tidak terima maklumat berlakunya perlumbaan haram yang besar.

“Ada dua tiga kes ditahan, tetapi lebih kepada tunjukkan aksi berani seperti ‘ala Superman’, kita tidak akan berkompromi dan akan meminta reman bagi pelaku kegiatan rempit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada 17 Julai lalu, lima penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini yang mana polis percaya kejadian itu akibat kegiatan lumba haram.

Menurut Mohd. Shuhaily, polis juga akan memanggil mesyuarat dengan pelbagai agensi bagi memperhalusi semua strategi dalam menangani kegiatan lumba haram di negeri ini.

“Sebelum ini, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak ada memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan dijadikan negeri model bagi penguatkuasaan mengekang aktiviti lumba haram.

“Mesyuarat bersepadu ini akan dijalankan minggu depan dan kita akan maklumkan hasil mesyuarat menerusi sidang akhbar,” katanya.

Dalam perkembangan lain Mohd. Shuhaily berkata, Pulau Pinang akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran program The 26th World Congress On Innovation and Technology 2022 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 September depan.

“Lokasi yang terlibat bagi penganjuran program ini adalah Pusat Konvensyen Setia Spice, Hotel Eastern and Oriental serta Padang Kota Lama dan dijangka 4,000 delegasi akan menyertai program ini.

“Acara penutup program ini akan diadakan pada 15 September di Padang Kota Lama dan beberapa lokasi jalan akan ditutup bagi acara berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, jalan yang akan ditutup adalah Jalan Tun Syed Sheh Barakbah (bermula pukul 12 tengah hari 15 September hingga 1 pagi, 16 September) manakala Lebuh Duke dan Jalan Padang Kota Lama (bermula pukul 12.01 tengah malam 15 September hingga 1 pagi 16 September). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya