Thailand jadi transit sindiket seludup manusia - Utusan Malaysia

Thailand jadi transit sindiket seludup manusia

Musa Hassan (dua kanan) dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim (tengah) bersama waris keluarga mangsa penipuan kerja di Laos menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Laos di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kegiatan penyeludupan manusia dipercayai menggunakan Thailand sebagai transit sebelum menyeludup mangsa ke negara ketiga terutama sejak pintu sempadan dibuka April lalu selepas pandemik Covid-19 semakin pulih.

Malah ratusan rakyat negara ini juga dilaporkan telah dibawa ke Laos, Kemboja dan Myanmar dengan sebahagiannya berjaya diselamatkan pihak berkuasa dan berpuluh lagi yang terperangkap di negara tersebut.

Mereka turut dilaporkan didera sehingga ada yang dtinggalkan sindiket di hospital di Thailand dengan menggunakan identiti palsu sebelum meninggal dunia keseorangan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kegiatan itu dikesan dilakukan sindiket antarabangsa yang memperdaya mangsa dengan pelbagai tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan.

Katanya, modus operandi itu dipercayai kaedah terbaharu sindiket antarabangsa bagi menjadikan rakyat negara ini buruh paksa.

“Ketika zaman dulu, tiada kes seperti ini dikesan berlaku. Saya percaya mangsa terpedaya dengan tawaran gaji tinggi kira-kira dolar Amerika Syarikat 2,000 (RM9,100) kerana kebanyakan mereka telah kehilangan kerja ketika pandemik.

“Selain itu, kebanyakan mangsa dikesan ke luar negara sejak pintu sempadan dibuka, ada menggunakan jalan sah malah ada juga menyeludup guna jalan tikus ke Thailand.

“Justeru, rakyat Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam apa jua tawaran pekerjaan di luar negara terutamanya di negara-negara jiran,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Musa turut mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan pekerjaan di surat khabar, media sosial serta ajakan orang tidak dikenali dipercayai ejen sindiket.

“Ada mangsa yang diajak bekerja oleh rakyat tempatan dipercayai bersubahat dengan sindiket.

“Bagaimanapun, apabila tiba di sana, mereka diculik dijadikan buruh paksa malah berkemungkinan dipaksa untuk menjual organ-organ mereka dan menjadi pelacur kalau wanita,” ujar beliau.

Jelas beliau, kini mereka dikurung di satu lokasi yang dikawal ketat sindiket selain dipaksa bekerja sebagai scammer, pelacur dan turut didera.

“Saya telah menyalurkan maklumat pada pihak polis melalui Polis ASEAN (ASEANAPOL) bagi meminta kerjasama pihak berkuasa negara terlibat untuk menyelamatkan mangsa-mangsa tersebut.

“Difahamkan beberapa kementerian termasuk Kementerian Luar juga telah mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN