Terima suapan RM400 untuk pejabat, bekas Pengarah AADK didenda RM3,000 - Utusan Malaysia

Terima suapan RM400 untuk pejabat, bekas Pengarah AADK didenda RM3,000

MOHAMAD Yusof Kameh diiring keluar anggota SPRM selepas mengaku bersalah dan membayar denda di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan menerima suapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Mohamad Yusof Kameh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan RM400 bagi kegunaan jabatan, empat tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan tersebut di atas pertuduhan pilihan kedua yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Pengarah AADK Melaka telah menerima untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat, yang mana tertuduh mengetahui individu itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat AADK di Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Jun 2018.

Berdasarkan fakta kes, pada Mac 2018, tertuduh telah menghubungi Budyarif dan memanggilnya ke pejabat bagi mendapatkan perkhidmatan bekalan beg kertas.

Dalam perbincangan itu, tertuduh telah meminta Budyarif memberikan wang sebanyak RM400 untuk kegunaan Pejabat AADK dengan cara menaikkan sebut harga menjadi RM4,630 melalui Syarikat Mutiara Event Management & Supplies.

Pada 21 Jun 2018, Budyarif telah membuat pengeluaran secara cek tunai dan menyerahkan sebahagian RM400 kepada tertuduh seperti diminta untuk melaksanakan program jabatan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Datuk Naran Singh memohon hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan tertuduh telah memberikan perkhidmatan cemerlang selama 30 tahun, iaitu sejak 1992 dan ralat kejadian itu berlaku di akhir tahun persaraan anak guamnya.

Tertuduh juga dikatakan telah insaf dengan kejadian tersebut yang mencemarkan namanya.

Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira faktor kesalahan serius dan kepentingan awam.

Pendakwaan juga memohon mahkamah mengguna pakai TIC (take into consideration) membabitkan tiga lagi pertuduhan yang sebelum ini didakwa ke atas tertuduh, dengan memasukkan hukuman lain ke satu pertuduhan, iaitu pertuduhan dengan nilai perolehan paling tinggi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda sebanyak RM3,000 atau penjara enam bulan jika gagal bayar dan turut bersetuju bahawa tiga lagi pertuduhan diambil kira sebagai TIC.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya