GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang masih belum menyelesaikan sesi temu ramah bersama penyandang-penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen negeri itu dalam penentuan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, DAP negeri akan membuat keputusan mengenai penyandang yang akan kekal atau perlu memberi laluan kepada muka baharu untuk bertanding hanya selepas sesi temu ramah itu selesai dijalankan.
“Muka-muka baharu untuk mewakili parti akan diperkenalkan oleh DAP Pulau Pinang setiap kali pilihan raya umum berlaku, namun persoalannya adalah berapa banyak kekosongan yang kita ada (kerusi untuk ditandingi).
“Ini bermakna penyandang perlu memberi laluan untuk membolehkan calon-calon muka baharu ini untuk diketengahkan.
“Setakat ini, sesi temu ramah bersama penyandang masih belum selesai, hanya apabila sesi ini selesai kita akan dapat gambaran yang lebih jelas sama ada penyandang sedia ada sesuai bertanding semula atau perlu memberi laluan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan LovePenang Sosial Media Video Challenge.
Menurut Kon Yeow, sesi temu ramah bersama calon-calon muka baharu telah selesai dijalankan dan sesi temu ramah bersama penyandang pula akan dijalankan secepat mungkin.
“Sesi temu ramah ini boleh dilakukan dengan kadar segera, jadi kita akan atur sesi ini segera,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang telah mengadakan mesyuarat semalam bagi memilih barisan kepemimpinan baharu memandangkan perubahan pucuk pimpinan dalam kalangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri.
“Kita juga ada berbincang isu persiapan PRU termasuk mengadakan jelajah PH pada bulan Oktober dan November ini.
“Jelajah ini akan dijalankan di semua kawasan yang akan kita tandingi dan kita juga akan menganjurkan konvensyen negeri bagi menyemarakkan semangat dalam kalangan ahli dan pimpinan PH negeri bagi menghadapi PRU,” katanya. – UTUSAN