MELAKA: Keriangan dua sahabat untuk menonton wayang di sebuah pusat membeli-belah bertukar tragedi selepas seorang daripadanya maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat buah kenderaan di Jalan Pokok Mangga di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.16 malam itu, mangsa, Muhammad Ammar Syahmi Rosli, 16, yang menunggang motosikal Modenas Dinamik meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Katanya, pembonceng, Muhammad Aidiel Zaidi, 16, tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Mercedes Benz E230 dipandu seorang lelaki warga emas berusia 67 tahun membelok masuk ke simpang Taman Sri Pandan.
“Ketika kejadian dua remaja terbabit dari arah Malim menghala ke Dataran Pahlawan untuk menonton wayang.
“Dipercayai kereta dipandu warga emas yang datang dari arah Klebang itu hendak masuk ke simpang Taman Sri Pandan dan telah berlaku pelanggaran dengan motosikal ditunggang dua remaja terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Christopher, pemandu warga emas itu kemudiannya turut melanggar dua kenderaan lain masing-masing jenis Honda Accord dan Proton Iswara.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan maut di lokasi, manakala rakannya terselamat. Kesemua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan sampel darah pemandu telah diambil untuk menyiasat kandungan alkohol serta dadah,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










