Tabung bantu pelarian perang dilancar

Tabung bantu pelarian perang dilancar

Mas Imran Adam (dua kanan) pada majlis pelancaran Kempen Kemanusiaan Econsave-Mycare Untuk Syria @Econsave Teratai, Pulai, Iskandar Puteri.– UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sifat pemurah dan prihatin rakyat negara ini terhadap mereka yang memerlukan tidak pernah luntur apabila mereka melancarkan Tabung Kemanusiaan Syria, Yaman dan Afghanistan bagi membantu menyediakan kediaman untuk pelarian perang.

Lebih sejuta pelarian dalam negara (IDP) di utara Syria dilaporkan memerlukan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah akibat peperangan sejak 11 tahun lalu.

Koordinator Perhubungan Awam Yayasan ATAA Relief, Mohammad Abdullatif Mohammad Salahaldin berkata, pihak­nya kini mengambil inisiatif menyediakan 3,500 buah rumah ketika ini.

Menurutnya, semua rumah yang dalam proses pembinaan itu melibatkan kawasan bandar A’zaz dan Al-Bab dengan menggunakan dana awam dan hasil kutipan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diraih di seluruh dunia.

“Kita juga akan membina kira-kira 4,500 buah rumah di bandar Idlib, Al-Bab dan Jarabulus bagi membantu lebih ramai pelarian membina semula kehidupan mereka yang dijangka siap pada Februari tahun depan.

“Kita akan membina rumah untuk setiap keluarga dengan anggaran sebuah keluarga terdiri daripada lima orang.

“Kami memohon orang ramai terutamanya rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu membangunkan kediaman bagi pelarian Syria untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas pelancaran tabung itu bersama-sama Yayasan ATAA, MyCARE dan Econsave Cash and Carry di Econsave Teratai, Skudai, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ahli Peme­gang Amanah MyCARE Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.

Pada masa ini, jutaan pela­rian dalam negara di utara Syria terpaksa tinggal di khemah-khemah kanvas berlantaikan tanah di kawasan tersebut.

MyCARE dan Pasaraya Econsave akan membuka kaunter wakaf di cawangan pasar raya yang terpilih bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menyumbang bagi pembinaan rumah di Syria, mulai bulan depan.

Mohd. Zin berkata, seunit rumah yang mempunyai dua buah bilik itu dianggarkan menelan kos RM14,000 dan mampu menempatkan kira-kira lima orang sekeluarga.

“Pewakaf boleh mewakafkan wang mereka serendah RM50 ataupun seberapa banyak yang mereka mahu. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk membantu rakyat Syria,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Imran berkata, tabung itu yang telah pun digerakkan sejak prapelancaran Julai lalu berjaya me­ngutip kira-kira RM300,000 hingga kini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN