KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan masih mengkaji pemberian suntikan vaksin influenza secara percuma kepada kumpulan warga emas berisiko tinggi.
Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, ini berikutan pemberiaan vaksin secara percuma itu cuma diberikan kepada kakitangan kesihatan.
Justeru, beliau menyarankan masyarakat terutamanya mereka yang berumur 65 tahun ke atas kerana keadaannya mungkin boleh jadi serius sehingga menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan membawa maut.
“Kita dapati influenza ini bermusim di negara sederhana, tetapi di negara kita (musim) tropikal tidak ada musim. Ia datang sepanjang tahun dan adakala naik serta turun.
“Setakat ini kementerian kesihatan (cuma) berikan kepada kakitangan kesihatan, tetapi kita akan bergerak ke arah itu dan perancangan untuk memberikan suntikan vaksin influenza percuma kepada mereka yang berumur 65 tahun ke atas.
“Namun, setakat ini belum dilakukan lagi, tetapi kita ada perancangan ke arah itu dan Insya Allah kalau benda itu jadi kenyataan akan diumumkan Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin),” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) di sini.
HRC dibina sejak 2012 kini mempunyai enam rawatan khusus yang dilengkapi kemudahan dan peralatan serba canggih bagi membantu pesakit mengembalikan fungsi optimum mereka.
Antara kemudahannya adalah kolam hidroterapi, gimnasium, klinik prothesis dan orthosis, simulasi pemanduan, bilik snoozelan serta bilik amali aktiviti harian. –UTUSAN