JOHOR BAHRU: Lebih sejuta pelarian dalam negara (IDP) di utara Syria memerlukan tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah akibat peperangan sejak 11 tahun lalu.
Atas dasar prihatin terhadap nasib kebanyakan mereka yang terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak, Koordinator Perhubungan Awam Yayasan ATAA Relief, Mohammad Abdullatif Mohammad Salahaldin berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyediakan 3,500 buah rumah ketika ini.
Menurutnya, kesemua rumah yang dalam proses pembinaan itu melibatkan kawasan bandar A’zaz dan Al-Bab menggunakan dana awam dan hasil kutipan badan bukan kerajaan (NGO) yang diraih di seluruh dunia.
“Kita juga akan membina kira-kira 4,500 buah rumah di bandar Idlib, Al-Bab dan Jarabulus bagi membantu lebih ramai pelarian membina semula kehidupan mereka yang dijangka akan siap pada Februari tahun depan. Kita akan membina rumah untuk setiap keluarga dengan anggaran sebuah keluarga terdiri daripada lima orang.
“Kami memohon orang ramai terutamanya rakyat Malaysia untuk bersama-sama membantu membangunkan kediaman bagi pelarian Syria untuk kehidupan yang lebih selesa,” katanya selepas majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Syria, Yaman dan Afganistan bersama-sama Yayasan ATAA, MyCARE dan Econsave Cash and Carry di Econsave Teratai, Skudai, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Pemegang Amanah MyCARE Dr. Mohd. Zin Kandar dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam.
Pada masa ini, jutaan pelarian dalam negara di utara Syria terpaksa tinggal di khemah-khemah kanvas berlantaikan tanah di kawasan tersebut.
MyCARE dan Pasaraya Econsave akan membuka kaunter wakaf di cawangan pasar raya yang terpilih bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menyumbang bagi pembinaan rumah di Syria, mulai bulan depan.
Mohd. Zin berkata, seunit rumah yang mempunyai dua buah bilik itu dianggarkan menelan kos RM14,000 dan mampu menempatkan kira-kira lima orang sekeluarga.
“Pewakaf boleh mewakafkan wang mereka serendah RM50 ataupun seberapa banyak yang mereka mahu. Ini adalah sebahagian daripada usaha kita untuk membantu rakyat Syria,” katanya.
Dalam pada itu, Mas Imran berkata, tabung itu yang telah pun digerakkan sejak prapelancaran Julai lalu berjaya mengutip kira-kira RM300,000 hingga kini. – UTUSAN










