LANGKAWI: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencadangkan penambahan bilangan ahli bagi mewakili negeri ke Dewan Negara sebagai usaha memperkasakan lagi peranan institusi itu.
Titah baginda, cadangan itu selaras dengan semangat Perlembagaan seperti yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Reid iaitu bertujuan untuk mengimbangi Parlimen melalui Dewan Negara, yang membawa suara daripada negeri.
Sultan Sallehuddin bertitah, mengikut Fasal (4) Perkara 45 Perlembagaan Malaysia, Parlimen boleh melalui undang-undang menambah bilangan ahli, yang dipilih oleh negeri daripada dua menjadi tiga, dan mengurangkan bilangan ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Perenggan (a) dalam peruntukan tersebut secara khususnya memperuntukkan penambahan bilangan ahli yang dipilih oleh negeri, daripada dua menjadi tiga.
“Beta percaya, peranan Dewan Negara perlu diperkasakan semula, agar suara negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia lebih didengari di Parlimen dan terus berperanan mengimbangi fungsi Dewan Rakyat,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin bertitah demikian semasa merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Se-Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini hari ini.
Titah Sultan Kedah, setakat ini, perkara itu masih belum dilaksanakan lagi.
Baginda turut berharap cadangan berkenaan boleh dipertimbangkan dan diteliti bagi pelaksanaannya di masa hadapan. – UTUSAN










