Sudah 90 peratus sedia hadapi banjir

Sudah 90 peratus sedia hadapi banjir

SITI Zailah Mohd. Yusof berbual dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SMK Seri Gading, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah melakukan 90 peratus persediaan untuk menghadapi bencana banjir yang dijangka berlaku bermula November ini ekoran musim tengkujuh.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusof berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia daripada segi bekalan barangan bantuan.

“Depoh-depoh yang ada sudah mula dipenuhkan dengan barangan keperluan kit bencana dan persiapan pusat pemindahan sementara (PPS) turut ditambah.

“Sebelum ini jumlah PPS yang ada kira-kira 5,000 tetapi yang terkini kira-kira 6,000 lebih PPS akan diwujudkan bagi menghadapi persedian bencana banjir,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa banjir kilat di PPS SMK Sri Gading, hari ini.

Menurutnya, seramai 5,067 pegawai JKM dan 195 pegawai psikologi dan kaunselor sedia membantu melaksanakan intervensi krisis dan psikologi kepada mangsa dan petugas bencana.

“Selain itu, JKM juga dibantu 1,075 orang pasukan sokongan psikologi yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara.

“Pasukan berkenaan terdiri daripada sukarelawan yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dalam bidang psikologi,” katanya.

Ujarnya, seramai 7,260 orang sukarelawan berdaftar dengan JKM di seluruh negara turut akan digerakkan untuk membantu di PPS yang diaktifkan selain membantu ketika pasca bencana.

“KPWKM mempunyai Skuad WAJA seramai 326,500 orang melibatkan penyertaan 252,139 golongan wanita dan 74,361 lelaki bersedia untuk membantu mangsa banjir yang terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN