Suara akar umbi diambil kira – Fahmi Fadzil

Suara akar umbi diambil kira – Fahmi Fadzil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pandangan akar umbi berhubung penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pakatan Harapan (PH) diambil kira bagi menilai permohonan tersebut.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, suara akar umbi perlu diambil kira secara serius sebelum memutuskan penyertaan parti Muda yang diketuai oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

“Memang betul kita perlu mengambil kira pandangan dan sentimen akar umbi, penyokong dan aktivis mengenai perkara ini. Semua ini akan dipertimbangkan secara serius oleh Majlis Presiden PH, mungkin tidak terlalu lama dari sekarang.

“Sebenarnya, Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) minta dua perkara berbeza. Muda nak masuk PH manakala PSM tak nak masuk tetapi mahu bekerjasama. Saya lihat ada perbezaan itu dan di mana kita boleh kumpulkan kekuatan, bagi saya itu satu perkara yang positif,” katanya dalam sidang akhbar, di sini.

FAHMI FADZIL

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Syed Saddiq mengumumkan hasrat partinya untuk menyertai PH dan disambut baik oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Syed Saddiq berkata, hasrat itu disuarakan kerana Muda berkongsi prinsip dan nilai perjuangan yang sama dengan PH dan menjadi pendorong untuk mereka menyertai pakatan tersebut.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir mempersoal kejujuran Muda yang hanya membuat keputusan untuk menyertai PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukannya sebelum ini.

Malah, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Razeef Rakimin turut menyifatkan Muda sebagai liabiliti dan menasihatkan pemimpin PH supaya tidak membenarkan parti itu menyertai gabungan.

Namun, PH memaklumkan mereka menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menilai kedudukan Muda dalam parti itu dan kerjasama dengan PSM pada PRU15.

Jawatankuasa itu terdiri daripada empat orang iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad mewakili PKR, Steven Sim Chee Keong (DAP), Mohd Hasbie Muda (Amanah) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO).

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, proses perundingan itu akan memberi laporan untuk Majlis Presiden PH membuat pertimbangan kelak.

“Kita sudah umum penubuhan sebuah jawatankuasa untuk melakukan perundingan bersama Muda dan PSM, maka bagi saya penting proses itu dimulakan dan hasil daripada perbincangan itu dilaporkan semula ke majlis presiden, untuk kita buat pertimbangan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya