PORT DICKSON: Sepasang suami isteri warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam rumah mereka dalam kejadian di Bandar Dataran Segar, Lukut, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kira-kira pukul 5.15 petang semalam, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mengatakan terdapat sepasang suami isteri disyaki telah tidak sedarkan diri di dalam sebuah rumah.
“Pihak Polis dengan dibantu oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Port Dickson telah memecahkan mangga hadapan pintu jeriji rumah.
“Pemeriksaan di dalam rumah kemudian mendapati seorang lelaki dan seorang wanita berbangsa Cina yang juga merupakan sepasang suami isteri telah tidak sedarkan diri.
“Pembantu Perubatan dari Klinik Kesihatan Lukut telah mengesahkan kematian di tempat kejadian dan mayat kedua-duanya telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham menambah, si mati lelaki berumur 61 tahun mempunyai sejarah rawatan darah tinggi manakala si mati wanita berumur 58 tahun tiada sebarang sejarah rawatan kesihatan.
“Hasil pemeriksaan polis bersama pasukan forensik juga tidak menjumpai sebarang unsur-unsur perlakuan jenayah di dalam rumah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat akan dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson esok setelah keputusan ujian saringan Covid-19 diperoleh,” katanya. – UTUSAN