Suami isteri bergaduh: Siram baja tahi ayam, baling cecair busuk

Suami isteri bergaduh: Siram baja tahi ayam, baling cecair busuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan bergaduh sehingga membaling plastik berisi cecair busuk dan menyiram baja tahi ayam di hadapan rumah mereka, dalam kejadian Mac lalu.

Tertuduh lelaki, Leow Hok Kee, 75, mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan pada prosiding di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, namun bekas isterinya, Soon Siew Eng, 69, minta untuk dibicarakan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh didakwa melakukan gaduh gempar dengan menjerit dan bertengkar, bergelut bersama-sama memegang besi serta membaling plastik berisi cecair busuk dan menyiram baja tahi ayam ke badan kira-kira pukul 5.50 petang di pekarangan rumah di Semabok di sini, pada 6 Mac 2022.

Bagi perbuatan itu, kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Dalam prosiding sama, tertuduh lelaki turut didakwa dengan satu lagi pertuduhan atas kesalahan mengaibkan kehormatan dengan menunjukkan punggung kepada anak perempuannya berusia 44 tahun, kira-kira pukul 7.40 pagi di rumah sama pada 8 Januari 2018. 

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh lelaki mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut dan minta dibicarakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Hok Kee dan RM2,000 kepada Siew Eng.

Kedua tertuduh masing-masing diwakili peguam Vinson Tay dan Goh Chin Han merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guam mereka tidak mempunyai pendapatan, selain tertuduh lelaki mengalami masalah pendengaran dan diisytiharkan bankrap. 

Mahkamah kemudian membenarkan Hok Kee dan Siew Eng masing-masing diikat jamin sebanyak RM2,000 dan RM500. 

Mahkamah turut menetapkan 26 Oktober depan untuk serahan dokumen dan keputusan hukuman terhadap Hok Kee yang mengaku salah bagi pertuduhan pertama. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN