Status Ahli Parlimen: Speaker Dewan Rakyat terima usul dari Najib - Utusan Malaysia

Status Ahli Parlimen: Speaker Dewan Rakyat terima usul dari Najib

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan beliau menerima usul daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai semakan kesnya di mahkamah.

Penerimaan usul itu bermakna status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan hanya akan diketahui selepas usul itu dan petisyen pengampunan diselesaikan.

Azhar menjelaskan, usul itu meliputi serahan dokumen-dokumen tambahan iaitu surat Tetuan Shafee & Co. bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan semakan jenayah menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.

Katanya, surat itu melampirkan notis usul bertarikh 6 September 2022, afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Najib pada 6 September 2022 dan perakuan segera bertarikh 6 September 2022.

Selain itu, Azhar turut menerima salinan surat iringan Tetuan Shafee & Co. menunjukkan pengakuan pihak Mahkamah Persekutuan menerima pemfailan permohonan semakan jenayah tersebut pada 6 September 2022.

“Saya telah meneliti usul tersebut dan mendapati bahawa ia satu prosiding mahkamah berkenaan dengan sabitan dan hukuman terhadap Najib dan tergolong dalam prosiding mahkamah yang lain berkenaan dengan sabitan dan hukuman seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh kerana usul ini difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, berdasarkan Perkara 48(4) (b), kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib hanya akan berlaku setelah usul tersebut dibereskan iaitu sekiranya usul tersebut ditolak,” katanya dalam kenyataan.

Justeru katanya, mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul tersebut di atas difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah.

“Ia akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN