SPRM tahan guru besar wanita salah guna kedudukan - Utusan Malaysia

SPRM tahan guru besar wanita salah guna kedudukan

SPRM menahan tiga individu termasuk seorang pensyarah wanita untuk disiasat berkaitan tuntutan palsu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang guru besar sebuah sekolah pendidikan khas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bagi membantu siasatan terhadap kes salah guna kedudukan untuk membeli barangan sekolah.

Sumber memaklumkan, penahanan wanita berusia 52 tahun itu dibuat di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani, dekat sini.

Katanya, wanita tersebut ditahan kira-kira pukul 1.27 petang ketika hadir bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut.

“Pada 2019 hingga 2021, individu berkenaan disyaki menyalahgunakan kedudukan dengan melakukan pembelian barangan sekolah melalui dua syarikat miliknya sendiri, yang didaftarkan atas nama dua anak lelaki berusia 33 dan 31 tahun.

“Anggaran nilai sebut harga yang terlibat sebanyak RM22,640. Wanita tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 tanpa deposit kerana perlu menjaga suaminya yang sedang uzur di rumah,” katanya.

Sementara itu, SPRM turut menahan seorang penganggur bagi membantu siasatan terhadap kes menawarkan dan memberi rasuah kepada seorang pegawai polis.

Menurut sumber, lelaki berusia 26 tahun itu ditahan pihak SPRM di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, kira-kira pukul 1.45 petang semalam.

Suspek didakwa menawarkan dan memberi seutas rantai leher kepada seorang pegawai polis berpangkat Sub Inspektor yang bertugas di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah.

“Rantai leher bernilai kira-kira RM4,500 itu dipercayai diberikan kepada Sub Inspektor berkenaan sebagai dorongan supaya pegawai tersebut melepaskannya dari tahanan,” katanya.

Terdahulu, suspek ditahan polis di sebuah hotel dalam bandar raya ini pada Rabu lalu, kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dan siasatan terhadap dirinya dilakukan di bawah Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber itu menambah, suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan RM3,000 melalui seorang penjamin.

“Suspek bagaimanapun ketika ini masih berada dalam tahanan lokap polis, kerana masih disiasat bagi kesalahan memiliki dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu itu namun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

“Siasatan terhadap guru besar wanita itu dibuat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, manakala kes melibatkan penganggur yang merasuah polis itu disiasat mengikut Seksyen 17(b) akta sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.