Sotong besar punca nelayan asing ceroboh perairan negara

Sotong bersaiz besar punca nelayan asing ceroboh perairan negara

WAN MUHAMMAD AZNAN Abdullah (bawah, kiri) melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan Vietnam di jeti Pengkalan Perlindungan Sumber Kuantan, di Padang Lalang di Kuantan, Pahang - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sotong bersaiz besar dan boleh memberi keuntungan lumayan menjadi antara punca nelayan asing khususnya Vietnam menceroboh kawasan perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, disebabkan bersaiz besar, harga sotong perairan negara boleh mencecah antara RM60 hingga RM80 sekilogram. 

Menurutnya, pencerobohan berlaku juga disebabkan nelayan tempatan kurang ke laut akibat ombak besar dan permulaan Monsun Timur Laut.

“Selasa lalu, Jabatan Perikanan berjaya menahan dua bot milik nelayan Vietnam pada jarak kira-kira 64 kilometer (km) dari perairan Kuala Kuantan sekitar pukul 9 pagi. 

“Bot-bot tersebut ditahan kerana cuba melakukan aktiviti mencandat sotong di kawasan perairan negeri ini. 

“Kehadiran bot terbabit dikesan melalui Sistem Pemantauan Vesel Jabatan Perikanan (ENAV) selain maklumat disalurkan nelayan tempatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di jeti Jabatan Perikanan, di Padang Lalang di sini sempena program pemantauan vesel penangkapan ikan asing Zon Timur. 

Mengulas lanjut berhubung penahanan tersebut, Wan Muhammad berkata, ketika serbuan awak-awak bot tersebut sedang beristirehat.

Jelasnya, dalam pemeriksaan, pihak jabatan mendapati bot terbabit sudah berada di perairan Kuala Kuantan sejak dua hari sebelum ditahan.

“Seramai 12 awak-awak yang berusia antara 16 hingga 59 tahun ditahan bersama bot itu dan turut dirampas kira-kira 20 hingga 30 kilogram sotong dipercayai hasil candat,” katanya.

Beliau berkata, selain dua bot, turut dirampas adalah peralatan navigasi dan komunikasi, hasil tangkapan (sotong) dengan anggaran keseluruhan RM300,000.

“Semua nelayan itu ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan Malaysia 1985 dan Seksyen 16 (3) Aka Perikanan Malaysia 1985 (Akta 317) kerana melakukan kesalahan memasuki dan melakukan penangkapan ikan di perairan Malaysia.

“Mereka direman 10 hari bermula kelmarin dan akan dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan itu selepas siasatan selesai,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN