fbpx

SM Faisal saman Caprice

ARIZ Ramli atau Caprice

KUALA LUMPUR: Datuk SM Faisal SM Nasimuddin memfailkan saman fitnah terhadap Caprice ekoran hantaran dalam laman sosial penyanyi rap itu berkaitan hukuman penjara bekas isteri ahli perniagaan berkenaan, Emilia Hanafi, beberapa bulan lalu.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu, di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen di sini dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh media hari ini, SM Faisal dalam afidavitnya pada tarikh 28 Jun 2022, Caprice memuat naik hantaran berbaur fitnah dalam akaun Instagram miliknya berkaitan hukuman penjara yang perlu dijalani bekas isterinya selepas melanggar perintah Mahkamah Syariah di sini.

Pada 26 Jun lalu, Emilia mula menjalani penjara tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung hak lawatan SM Faisal. 

“Defendan dengan niat jahat (mala fide), mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah sama ada secara langsung atau tidak atau secara terbuka. Posting fitnah tersebut telah mendapat publisiti meluas,”katanya.

Dakwa plaintif, hantaran itu memberi implikasi kepada hubungannya sesama keluarga, kerjaya, fokus kerja serta pendapatan plaintif.

Berikutan tindakan Caprice itu juga, SM Faisal mendakwa dirinya tertekan dari segi emosi selain menjadi cemas dengan pelbagai hasutan, cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

SM Faisal SM Nasimuddin

Selain itu, SM Faisal menyatakan hantaran berbaur fitnah itu itu secara tidak langsung menggambarkan dirinya sebagai seorang lelaki yang kejam, disamakan dengan orang Yahudi serta ayah yang zalim atau jahat kepada anak-anaknya.

Berikutan itu plaintif melalui peguamnya menghantar satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai lalu berkenaan hantaran tersebut yang menuntut antara lainnya penarikan balik hantaran itu, permohonan maaf terbuka dan ganti rugi yang akan ditentukan kemudian namun sehingga hari ini, Caprice gagal memenuhi tuntutan tersebut.

Oleh itu, SM Faisal memohon suatu perintah agar Caprice memadam hantaran berbaur fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terhadap plaintif melalui laman Instagram milik defendan pada 28 Jun lepas.

Selain itu, plaintif turut memohon satu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, agennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun.

SM Faisal turut memohon satu permohonan maaf terbuka daripada defendan kepada plaintif yang akan dimuat naik, disiarkan, diterbitkan, diedarkan dan dihebahkan pada laman-laman media sosial termasuk tetapi tidak terhad kepada Instagram atau Facebook milik defendan.

Turut dimohon ialah kos, ganti rugi am, ganti rugi punitif, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk  dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi selepas pengurusan kes saman itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Idah Ismail mengesahkan pemfailan saman fitnah berkenaan terhadap Caprice.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 14 Oktober ini,” katanya.- UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN