Siasat segera isu dera pembantu rumah - Utusan Malaysia

Siasat segera isu dera pembantu rumah

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) melakukan siasatan segera berhubung isu dera membabitkan seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, siasatan awal mendedahkan perbuatan itu dilakukan pasangan suami isteri dari Batu Caves, Selangor.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan pembantu rumah itu bukan sahaja tidak dibayar gaji tetapi turut menjadi mangsa dera.

“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.

Saravanan berkata, kes seperti itu adalah insiden yang perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara.

Menurutnya, beliau turut mengingatkan majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka.

“KSM tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap pekerja tidak kira warga tempatan mahupun asing. Tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa.

“Mulai sekarang, KSM tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ia masih di dalam peringkat siasatan,” katanya.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan majikan lebih peka dengan tindakan yang diambil terhadap pekerja mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN