Siasat Abd. Latiff? Tiada komen - Azam Baki - Utusan Malaysia

Siasat Abd. Latiff? Tiada komen – Azam Baki

ABD. LATIFF AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, SPRM belum membuat sebarang keputusan sama ada akan memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

“Tiada komen mengenainya kerana kita masih siasat. Kita perlu semak perkara itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen MACC Law Enforcement Accredited Programme di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Azam berkata, masih banyak perkara yang perlu disiasat membabitkan kes LCS tersebut.

AZAM Baki menyaksikan penyampaian sijil diploma kepada graduan Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Majlis 1st MACC Law Enforcement Accredited Programme Convocation 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Kita masih lagi menjalankan siasatan dan banyak lagi perkara yang kita perlu siasat dalam hal penyiasatan ini. Saya ingin membawa semua untuk memahami bahawa perkara-perkara berkaitan tadbir urus dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza.

“Mungkin pihak-pihak yang mengemukakan isu tersebut kepada pihak media tentang tadbir urus mungkin diambil dari laporan audit. Namun pihak kami bukan menyiasat perkara itu sahaja, kita menyiasat lebih lanjut lagi daripada itu untuk melihat unsur jenayah yang dilakukan mana-mana pihak,” katanya.

Jelas beliau, pegawai penyiasat SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kes tersebut termasuk memanggil saksi-saksi dari luar negara.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli mendakwa syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti dalam projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Abd. Latiff.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd. Latiff.

Dakwanya, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd. Latiff. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN