PASIR PUTEH: Sekolah rendah di daerah ini mengambil pendekatan drastik dengan memperketatkan lagi kawalan keselamatan dalam usaha membendung kejadian tidak diingini susulan dakwaan cubaan culik yang tular meskipun polis menafikan perkara tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia ke beberapa buah sekolah mendapati, pengawal keselamatan yang bertugas hanya akan membuka pintu sekiranya murid mengesahkan kehadiran ibu bapa mereka.
Seorang pengawal keselamatan, Nik Nismu Nik Ismail, 50, berkata, sekiranya melihat kehadiran individu yang mencurigakan di kawasan sekolah pihaknya akan terus membuat teguran.
Menurutnya, walaupun belum ada kes berkait perkara itu direkodkan, usaha awal perlu dilakukan sebagai langkah pencegahan.
“Pada masa yang sama, guru-guru turut membantu pihak kami dengan memantau di kawasan sekolah.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak sekolah telah membuka dua khemah besar yang dilengkapi kerusi dan pondok di dalam kawasan sekolah untuk murid berkumpul sebelum dijemput oleh ibu bapa masing-masing. Ia sudah menjadi amalan sejak 2021 lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Cherang Ruku, Zanawi Isa mahu syarikat pengawal keselamatan memastikan kamera litar tertutup (CCTV) yang di pasang di pondok pengawal berfungsi dengan baik.
Katanya, rakaman CCTV merupakan perkara penting yang boleh dijadikan rujukan sekiranya berlaku satu-satu kejadian. – UTUSAN










