KOTA BHARU : Pekarangan kebanyakan sekolah di negeri ini kini sesak dengan kenderaan ibu bapa yang datang lebih awal untuk mengambil anak mereka pulang dari sekolah susulan dakwaan berlaku kes cubaan culik meskipun telah dinafikan oleh polis.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar daerah ini mendapati keadaan lalu-lintas di hadapan sekolah yang selalunya agak lengang bertukar menjadi sesak dengan pertambahan jumlah kenderaan ibu bapa.
Seorang ibu, Nur Hidayah Ismail, 39, berkata, dia sanggup menunggu lebih awal di hadapan sekolah kerana bimbang dengan keselamatan anak-anaknya selepas mendengar dan membaca dakwaan berkait perkara tersebut di laman-laman sosial.
“Kebiasaan saya akan bergilir-gilir dengan suami untuk datang mengambil sendiri anak yang berusia 9 tahun serta 12 tahun. Sejak tularnya dakwaan itu, kami memilih untuk datang lebih awal berbanding biasa.
“Bagaimanapun, saya sentiasa berpesan kepada mereka supaya menunggu kami di dalam pagar sekolah dan melarang mereka untuk keluar dari kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi seorang lagi ibu, Zohra Kadim Hussain, 50, berkata, dia sanggup meninggalkan kerja dan berkorban masa datang mengambil anak lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, usaha pihak polis mengadakan rondaan di kawasan sekolah sedikit sebanyak mengurangkan kegusaran ibu bapa.
“Memang dari dulu lagi saya sentiasa datang awal untuk mengambil anak di sekolah, namun, apabila banyak kisah tular mengenai cubaan menculik ini, saya lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
“Saya berharap semua ibu bapa dapat memainkan peranan masing-masing selain pihak sekolah juga mengambil langkah mengawasi murid-murid waktu mereka pulang,” ujarnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun sebelum ini berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati kesemua dakwaan itu tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak dan meminta masyarakat menghentikan sebar maklumat tidak betul. – UTUSAN










