Sedia bincang tangani isu mahkamah sivil atasi syariah

Sedia bincang tangani isu mahkamah sivil atasi syariah

IDRIS AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan berhubung isu Doktrin Struktur Asas (BSD) dieksploitasi mahkamah sivil selama ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sesi itu juga akan menilai semula senario keputusan mahkamah sivil yang mengatasi mahkamah syariah.

Malahan beliau berharap agar pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) segera berbincang dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menyemak situasi tersebut.

Agensi berkenaan bahkan perlu bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar sendiri untuk memperbaiki situasi itu.

‘Insya-Allah, perkara ini (BSD) memang dalam perhatian pihak JKSM dan mungkin patut diadakan pertemuan kerana mereka lebih arif selok belok isu sebegini,” katanya selepas melancarkan  Kempen Hentikan Fitnah Melalui Media Sosial yang julung kali dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di sini hari ini.

Utusan Malaysia melaporkan gesaan Pengerusi Gerakan Daulat, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor yang mahu kerajaan campur tangan menghentikan BSD oleh mahkamah sivil.

Langkah itu disebabkan banyak keputusan mahkamah syariah sering dicabar dan dibatalkan oleh mahkamah sivil yang jelas bertentangan dengan prinsip Islam sebagai agama Persekutuan.

Mengulas lanjut, Idris bagaimanapun tidak menyatakan bilakah pertemuan antara JKSM, AGC dan Wan Junaidi akan berlangsung tetapi memberi jaminan isu BSD dalam perhatian Jakim.

“Terpulang kepada pihak JKSM untuk menentukan tarikh perjumpaan tetapi apa yang penting ia perlu dibuat demi memastikan perundangan Islam tidak dicabar mahkamah sivil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN