REMBAU: Sebuah rumah berusia lebih 50 tahun di Kampung Nerasau, Chengkau di sini musnah dalam kebakaran pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Moktar Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 7.13 pagi tadi dan kebakaran tersebut melibatkan sebuah rumah berukuran 30 x 100 kaki persegi yang musnah sepenuhnya.
“Turut musnah terbakar adalah dua buah motosikal. Dua jentera bomba dari Kota dan Rembau dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 16 anggota sebaik menerima panggilan kejadian,” katanya,
Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Nur Syafiqah Abdullah, 25, berkata, dia hanya sempat menyelamatkan motosikalnya serta dokumen penting sebelum menjerit meminta tolong jiran-jiran untuk menghubungi pasukan bomba.
Menurutnya, dia baru sahaja pulang dari bekerja di kedai makan sekitar pukul 3 pagi dan hanya menyedari rumah dihuninya itu terbakar selepas sesak nafas semasa tidur.
“Saya dan suami tinggal di sini bersama keluarga adik serta anak-anaknya. Dua hari lalu, bekalan elektrik dan air dipotong.
“Memang sejak menyewa tiada bayaran yang dibuat. Jadi kami pakai lilin, mungkin terlalu letih saya tidak perasan rumah terbakar,” katanya ketika ditemui. – UTUSAN