Sebahagian besar pernyataan bertulis Fadzlette diterima masuk sebagai keterangan - Utusan Malaysia

Sebahagian besar pernyataan bertulis Fadzlette diterima masuk sebagai keterangan

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memadam tiga perenggan dalam pernyataan bertulis Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican manakala sebahagian besarnya diterima masuk sebagai keterangan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Perenggan terlibat ialah ayat terakhir perenggan 17, keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir perenggan 22 yang menyentuh kredibiliti saksi pendakwaan ke-90, Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berpuas hati, sebahagian besar pernyataan saksi mengandungi 34 perenggan itu diterima masuk sebagai keterangan kerana ia berhubung kait secara langsung dengan isu teras kes pembelaan.

Beliau berpendapat, hanya tiga perenggan daripada keseluruhan pernyataan itu tertakluk di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.

Hakim Collin turut berpuas hati, perenggan 16 hanya melibatkan pengenalan secara naratif bagaimana Fadzlette bertemu dengan Mazlina.

Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO, dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin turut mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan pada akhir kes pembelaan jika terdapat permohonan serupa dikemukakan untuk memadam perenggan tertentu dalam pernyataan bertulis saksi-saksi lain.

Menurut beliau, pada peringkat ini, pernyataan bertulis saksi-saksi lain diterima masuk tanpa memprejudiskan hak pendakwaan untuk memohon perenggan-perenggan tertentu dipadam melalui penghujahan pada akhir kes kelak.

Isnin lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon agar perenggan 16 hingga 30 dalam pernyataan bertulis itu dipadam kerana ia merupakan satu lagi percubaan untuk menggugat kredibiliti Mazlina yang merupakan salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes tersebut.

Raja Rozela sebelum ini berhujah, perenggan-perenggan tersebut hanya bertujuan menggoyah keterangan Mazlina dan memohon agar tidak dimasukkan sebagai keterangan.

Hujah beliau, perenggan-perenggan tersebut hanya bersifat sampingan dan tidak relevan atau mempunyai kesan terhadap perbicaraan kes Ahmad Zahid.

Semalam, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pernyataan bertulis Fadzlette relevan dan wajar diterima masuk sepenuhnya sebagai keterangan kerana ia penting bertujuan mencabar kredibiliti dan perlakuan Mazlina.

Hujah beliau, Fadzlette merupakan saksi pembelaan bebas dan keterangan beliau material bagi menunjukkan perlakuan Mazlina yang disifatkan cuai, enggan menurut perintah dan membelakangkan arahan yang diberikan.

Sehubungan itu, Hisyam berhujah, pernyataan bertulis Fadzlette tidak sepatutnya dipadam dan wajar diterima keseluruhannya dalam perbicaraan tersebut selagi keterangannya relevan bagi menyanggah kredibiliti Mazlina.

Bekas pegawai kanan tentera itu juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya