Saya temui ketenangan yang dicari – Avaa Vanja

Saya temui ketenangan yang dicari – Avaa Vanja

AVAA Vanja bersama anaknya, Merlissa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Avaa Vanja, bersyukur apabila Allah SWT menjentik hatinya untuk berubah ke jalan agama, sekali gus ‘menyelamatkan’ dirinya da­ripada terus hanyut dengan arus duniawi.

Avaa, 42, yang kini bertudung ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia bertekad untuk berubah selepas menghadiri sebuah program keagamaan yang turut menampilkan Mizz Nina sebagai ahli panel.

Pelakon filem Kala Malam Bulan Mengambang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah itu berkata, dia kagum de­ngan kerja dakwah yang dilakukan Mizz Nina dan tanpa diduga, memberinya inspirasi un­tuk berubah ke arah lebih baik.

“Sejak beberapa bulan lalu, hidup saya berantakan dan kusut, terutama selepas bercerai. Memegang status ibu tunggal bukan sesuatu yang mudah.

“Terus-terang, saya tiada tawaran kerja seni sekarang. Tetapi, saya masih mampu menyuap anak makan dengan hasil kerja sambilan yang dilakukan. Saya buat apa yang termampu hingga terdetik di hati, Allah SWT begitu baik terhadap kami.

“Sebenarnya, hati terdetik untuk berubah sudah lama. Cuma, baru sekarang saya bertindak. Buat apa fikir lagi? Saya terus buat dan berubah tanpa perlu tunggu esok atau lusa,” katanya.

Avaa berkata, dia tidak kisah jika ada pihak yang memandang sinis perubahannya kerana per­kara itu dilakukan bukan untuk menarik perhatian umum.

“Sedikit pun tidak terlintas di hati untuk meraih perhatian orang. Saya tahu, pasti ada yang akan mempertikai perkongsian saya ini, namun saya lakukan k­erana Allah SWT.

“Saya berharap kehidupan saya dan anak berada di landasan betul dan mendapat reda-Nya. Saya juga berharap semua pihak melihat perkongsian ini dari sudut positif dan mendoakan kesejahteraan saya serta anak. Itu sudah cukup buat kami,” katanya.

Tambah Avaa, dia melakukan perubahan itu tanpa sebarang persiapan, malah bergegas mendapatkan tudung dan pakaian longgar untuk disesuaikan dengan imej barunya itu.

“Apa yang penting, saya sudah temui jawapan yang dicari selama ini. Saya cuma mahu ketenangan dan menyayangi diri. Semua itu hanya dapat diraih jika kita letakkan cinta pada Dia dahulu,” katanya.

Avaa atau nama sebenarnya Avaa Vanja Mohamad Ramli mendirikan rumah tangga dengan Aamil Sulaiman pada 2011, tetapi berpisah pada 7 Februari lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Merlissa yang kini berusia 10 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.