‘Saya sudah pesan jangan mandi laut’

‘Saya sudah pesan jangan mandi laut’

GAMBAR terakhir Nurish Qhalisha (tengah) yang dirakam sebelum hilang di Pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: “Saya sudah pesan jangan mandi laut. Jika dia hendak mandi juga, tak payah pergi.”

Demikian kata Radiah Rahmad, 42, ibu kepada Nurish Qhalisya Suhailizam, 13, remaja yang lemas di Pantai Tanjung Balau di sini semalam.

Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, anak keenamnya itu meminta izin untuk ke pantai bersama-sama rakan sekolah yang turut ditemani ibu rakannya.

Dia memberi izin kepada Nurish kerana anaknya itu berjanji tidak akan mandi dan sekadar mahu berjalan dan mengambil gambar.

RADIAH Rahmad ditenangkan saudaranya selepas melakukan pengecaman mayat Nurish yang ditemukan 50 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan lemas.

“Masa dia minta izin malam tadi saya cakap tak payahlah. Tetapi dia cakap sudah lama tidak keluar rumah, dia bosan. Dia yakinkan saya bahawa dia tidak akan mandi hanya pergi untuk jalan-jalan ambil gambar.

“Saya cakap kalau hendak ambil gambar boleh pergilah. Saya tanya juga dia pergi dengan siapa, dia kata dengan kawan-kawan enam orang semuanya. Saya ta­nya juga mahu balik macam mana, dia beritahu akan maklum kemudian untuk ambil di mana nanti,” katanya ketika ditemui di Pantai Tanjung Balau semalam.

Nurish Qhalisya antara enam remaja yang lemas di pantai pe­ranginan itu bagaimanapun lima daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam dan anggota bomba.

Namun dua rakan mangsa kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kota Tinggi.

Radiah berkata, dia tidak me­nyangka kira-kira pukul 8 pagi menerima WhatsApp masuk bertalu-talu memaklumkan kejadian lemas itu sebelum ibu anak rakannya menghubungi memberi­tahu Nurish Qhalisya lemas.

“Macam tak percaya apabila dapat berita lemas itu. Biasanya dia tak akan mandi di pantai itu, kami semua tidak akan mandi. Kali terakhir datang ke Pantai Tanjung Balau ini bulan lepas, masa itu kami sekeluarga melawat muzium.

“Kami memang jarang beri izin anak-anak mandi pantai. Memang tak sangka sebab dia kata tak nak mandi. Pagi tadi saya kejut dia pukul 5 sebelum dihantar ayahnya pada pukul 7.30,” kata­nya yang menyewa di Kampung Baru Sungai Mas, di sini.

Radiah berkata, Nurish Qalisha akan menyambut ulang tahun kelahiran pada 22 September ini.

“Dia tak cakap hendak hadiah apa, cuma cakap kalau emak tak dapat bagi, tak apa kawan-kawan ramai akan bagi.

“Paling sedih hari ini merupakan hari jadi saya. Kami sama bulan. Semalam dia juga minta gunting rambut, saya guntingkan. Tak sangka hari ini kami ke­hilangannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN