fbpx

Saya orang kecil saja, Ebit Lew orang besar – Mangsa gangguan seksual

EBIT Lew keluar dari bilik perbicaraan di Mahkamah Majistret Tenom.

TENOM: Pada awalnya mangsa takut dan rasa tidak selamat untuk berkongsi maklumat berkaitan gangguan seksual didakwa dilakukan oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Demikian kata saksi pertama pendakwaan, Mohd. Fairuz Abu,37, atau dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Walau bagaimanapun, selepas Mohd. Fairuz menenangkan mangsa baru wanita itu berkongsi dari A-Z.

“Maka, saya mencadangkan kepada mangsa untuk buat laporan polis tapi, mangsa takut dan berkata ‘saya orang kecil saja, Ebit orang besar jadi, saya tak nak buat report’,” katanya.

Menurut beliau, selepas mencadangkan agar mangsa membuat laporan polis, mangsa meminta diberikan waktu bagi berbincang bersama suami.

Akhirnya laporan polis dibuat pada 7 Ogos 2021 dan Mohd. Fairuz dipanggil menjadi saksi untuk memberi kenyataan kepada pihak polis.

Ketika dipanggil memberi keterangan, telefon bimbit beliau turut diberi kepada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar.

Mengulas lanjut katanya, pada awalnya mangsa tersebut tidak perkenalkan diri, tidak sebut nama.

Namun, mangsa bertanya mengenai individu yang dimaksudkan dalam posting beliau pada 26 Julai 2021.

“Bila saya sebut Ebit Lew maka, mangsa terus kongsi tangkap layar perbualan dan gambar kemaluan yang diberi oleh Ebit melalui aplikasi Whatsapp,” katanya.

Sebelum itu, Mohd. Firdaus kongsikan posting (paparan) dalam laman Facebook berkaitan seorang pendakwah selebriti yang telah lakukan gangguan seksual kepada wanita.

“Dalam posting itu saya cadangkan wanita lain yang menjadi mangsa sama untuk hubungi saya agar mereka boleh dibantu dari segi kaunseling psikologi dan bantu mereka untuk tampil ke depan lapor kepada pihak polis.

“Saya telah menerima berpuluh mesej yang mengadu pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh individu lain dan Ebit Lew. Salah seorang daripada individu yang menghubungi saya ialah mangsa (kes ini),” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN