Saya ada bukti jemputan kepada UMNO - Takiyuddin

Saya ada bukti jemputan kepada UMNO – Takiyuddin

TAKIYUDDIN Hassan (kanan) beramah mesra bersama pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Kedah selepas Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok Bersama Komuniti Kota Sarang Semut di Kompleks Pas Kedah hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Saya ini seorang lawyer (peguam) tahu? Saya bercakap ada bukti. Saya boleh tunjuk (surat) jemputan yang dipanjangkan kepada UMNO yang saya beritahu semalam.”

Demikian kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini ketika diminta mengulas tentang penafian pemimpin UMNO Kedah bahawa Pas menghantar jemputan ke majlis perasmian muktamar itu kepada parti tersebut.

Menurut Takiyuddin, pihaknya menghantar jemputan berkenaan melalui surat rasmi kepada pegawai pemimpin berkenaan selain melalui media sosial sebelum Muktamar Pas itu berlangsung semalam.

“Saya memastikan jemputan itu dikemukakan. Pertamanya, jemputan ke Majlis Perasmian Muktamar Pas Tahunan Pas Kali Ke-68 kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

“Ini bukti saya. Kita juga menjemput, Datuk Seri Dr. Datuk Wee Ka Siong (Presiden MCA) kemudian Tan Sri S.A Vigneswaran (Presiden MIC). Jadi ini bukti kita hantar. Maknanya presiden parti (Barisan Nasional) dijemput,” katanya sambil menunjukkan salinan surat jemputan tersebut di dalam aplikasi WhatsApp di telefon bimbitnya.

Menteri Tenaga dan Alam Sekitar itu berkata demikian ketika hadir pada program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman Pokok di pekarangan Kompleks Pas Kedah, di sini hari ini.

Beliau menambah, pihaknya itu turut menjemput ahli-ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan untuk hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Pas itu semalam.

“Kita tak ada masalah kalau mereka tak boleh hadir, nak buat macam mana. Kita jemput untuk menggambarkan keterbukaan kita ke arah menuju kestabilan negara.

“Ada dua perkara yang berbeza di sini, satunya menghantar jemputan dan yang kedua jemputan itu diterima oleh orang berkenaan. Saya boleh beritahu pegawai yang mengambil jemputan ini (maka) kita anggap benda (jemputan) itu sampai secara terus ke pejabat (mereka),” jelasnya.

Ketika ditanya tentang jemputan untuk UMNO Kedah kata beliau, perkara itu diuruskan oleh Pas negeri ini.

UMNO Kedah semalam menafikan menerima sebarang jemputan daripada Pas untuk menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas ke-68, yang diadakan di sini semalam.

Terdahulu, Ketua Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya di laman Facebooknya mendakwa, beliau merupakan individu yang menyerahkan kad undangan untuk UMNO Kedah kepada Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob pada 30 Ogos lalu.

“Saya serah sendiri kepadanya yang merupakan satu-satunya Exco UMNO di pejabat beliau pada 30 Ogos 2022. Saya minta beliau datang tetapi Datuk Suraya cuma ‘ghenyeh’ (senyum) tanpa jawab apa-apa pun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya