Saman RM2 juta Zamihan terhadap Mufti Perlis ditolak - Utusan Malaysia

Saman RM2 juta Zamihan terhadap Mufti Perlis ditolak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman RM2 juta Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin terhadap Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kenyataan berbaur fitnah, tiga tahun lalu.

Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan Lee memutuskan demikian selepas berpuas hati Zamihan gagal membuktikan unsur pertama bahawa terdapat penerbitan dalam kes tersebut.

Mahkamah memerintahkan Zamihan (plaintif) membayar kos RM40,000 kepada Dr. Mohd. Asri (defendan).

Ketika membacakana keputusannya, Hakim Mohd. Johan berkata, Zamihan gagal memanggil saksi-saksi iaitu pembuat atau penulis artikel (makalah) bagi mengesahkan penerbitan yang dikatakan mengandungi pernyataan berunsur fitnah.

“Ini bermakna, pembuat atau penulis artikel kenalah hadir dan mengesahkan itu tulisan mereka, barulah ia boleh diterima pakai, dirujuk, dan dipertimbangkan oleh mahkamah.

“Malangnya, perkara ini tidak dilakukan dalam kes ini dan saksi-saksi bagi membuktikan kewujudan artikel ini tidak dipanggil.

“Artikel-artikel ini sehingga tamatnya perbicaraan, kekal berada di Bahagian C Ikatan Dokuman tanpa sebarang rujukan (tidak juga ditanda sebagai dokumen identifikasi),” ujar hakim berkenaan.

Hakim Mohd. Johan seterusnya menyatakan, plaintif mendakwa defendan mengatakan kenyataan-kenyataan ini kepada wartawan yang kemudian menulis dan menerbitkan artikel-artikel itu.

Beliau berpendapat, wartawan yang mendengar kenyataan-kenyataan untuk mengesahkan percakapan defendan bagaimanapun, tidak dipanggil memberi keterangan.

Oleh yang demikian, mahkamah berpuas hati plaintif gagal dalam segala konteks untuk membuktikan terdapatnya penerbitan dalam kes ini.

Terdahulu, peguam Mohd. Faizal Abdul Rahman bersama-sama Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili Mohd. Asri memohon kos RM50,000 dan jumlah itu dibayar sebelum defendan memfailkan notis rayuan.

Bagaimanapun, Zamihan yang tidak diwakili peguam memohon kos dikurangkan kepada RM10,000 kerana pihaknya masih mempunyai tunggakan bayaran guaman untuk dijelaskan kepada peguam terdahulu.

Beliau menyatakan, kos RM50,000 itu terlalu tinggi kerana saksi-saksi hanya dipanggil secara dalam talian sahaja dan menetap di sekitar ibu negara.

Zamihan memfailkan saman malu pada Julai 2019, mendakwa Mohd Asri mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya sebanyak dua kali melalui artikel bertajuk ‘Bukan Perlis sahaja’ yang diterbitkan pada 14 Oktober 2018.

Mahkamah mendengar keterangan tiga saksi plaintif termasuk Zamihan manakala Mohd. Asri memanggil enam saksi defendan.

Kenyataan kedua dikeluarkan pada sesi forum SOSMA bertajuk ‘Siapa Pengganas & Potensi Salahguna Kuasa’ di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 9 Februari 2019.

Plaintif mendakwa ucapan Mohd. Asri itu disiarkan di portal berita Malaysiakini dan kenyataan fitnah itu secara langsung merujuk kepada kerjaya, jawatan dan ia tidak benar.

Dakwa plaintif, kenyataan itu turut membawa maksud bahawa beliau tidak berintegriti, pembohong dan mengelirukan orang awam dengan hukum Islam yang karut.

Zamihan mendakwa kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat dan mendedahkan dirinya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan dalam masyarakat.

Beliau menuntut antaranya ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, permohonan maaf daripada defendan, perintah injunksi melarang defendan sama ada secara langsung atau tidak mengeluarkan kenyataan itu dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya