Saman 1MDB terhadap Irwan, Arul Kanda didengar hakim lain

Saman 1MDB terhadap Irwan, Arul Kanda didengar hakim lain

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saman 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terhadap bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bagi menuntut pembayaran AS$6.59 bilion, didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi yang lain.

Perkara itu ditetapkan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman tersebut.

Perkembangan itu disahkan oleh peguam Lavinia Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan ketika dihubungi wakil media hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Roz Mawar.

Peguam tersebut berkata, sehubungan itu tarikh pengurusan kes pada 27 September ini serta pendengaran permohonan Mohd. Irwan dan Arul Kanda untuk membatalkan saman 1MDB pada 19 Oktober ini, dilapangkan.

Sepatutnya, permohonan untuk membatalkan saman itu didengar di hadapan Roz Mawar yang menggantikan Hakim Datuk Amarjeet Singh yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) di sini.

Difahamkan, Roz Mawar sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Penguatkuasaan Sivil, Suruhanjaya Sekuriti dan agensi itu antara yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Arul Kanda dan Mohd Irwan disaman 1MDB pada Mei tahun lalu berhubung dakwaan bahawa mereka melakukan pecah amanah dan konspirasi menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah AS$1.83 bilion.

Ia berkaitan pelaburan dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd yang ditukar kepada pelaburan Brazen Sky Limited (Brazen Sky), yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa kedua-dua defendan melakukan pecah amanah dan konspirasi dengan menyeleweng wang 1MDB berjumlah AS$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan AS$1.265 bilion dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd. Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda sehingga menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antaranya menuntut kedua-dua defendan membayar AS$6.59 bilion berhubung pelanggaran tersebut dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd. Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya