IPOH: Usaha mengesan seorang lagi pekerja kuari dan jengkaut yang masih tertimbus runtuhan batu di tapak kuari dekat Keramat Pulai sejak Mac lalu, hari ini diteruskan dengan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9).
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi itu dijalankan ekoran penemuan bangkai jengkaut bersama rangka tulang dipercayai manusia dan baju pagi tadi.
Katanya, pihaknya dimaklumkan bangkai jengkaut itu dijumpai oleh pekerja kuari yang kemudian memaklumkan kepada polis.
“Pegawai dan anggota Bahagian Operasi JBPM Perak bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai diatur gerak ke lokasi selepas dihubungi pihak polis pada pukul 10.20 pagi.
“Kerja-kerja menggali segera dijalankan dan selepas bangkai jengkaut dialihkan, kita menemui baju dan serpihan rangka tulang berhampiran jentera tersebut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Menurut beliau, lokasi bangkai jengkaut dan rangka tulang itu ditemukan pada jarak 25 meter dari lokasi pencarian terakhir pasukan penyelamat sebelum ini.
Katanya, jentera tersebut dipercayai dibawa runtuhan sehingga ke bahagian hujung bukit.
“Dua ekor anjing dari Unit K9 bomba digunakan bagi mengesan lokasi seorang lagi mangsa bersama sebuah lagi jengkaut.
“Kita akan menempatkan anggota di lokasi runtuhan batu kuari ini dalam masa beberapa hari untuk meneruskan operasi mengesan seorang lagi mangsa yang dilaporkan tertimbus dalam kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan memberitahu jengkaut berkenaan dijumpai pada pukul 11.45 pagi tadi diikuti beberapa tulang dan baju sekitar pukul 12.30 tengah hari.
Kejadian runtuhan batu di tapak kuari pada 8 Mac lalu sekitar pukul 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.
Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan. – UTUSAN










