PETALING JAYA: Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) merupakan agensi paling tepat untuk dipertanggungjawabkan bagi menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik sekiranya ia mendapat kelulusan di Parlimen kelak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, ini kerana RoS mempunyai kriteria lengkap bagi mengendalikan akta tersebut.

Wan Ahmad berkata, SPR tidak sesuai untuk diberikan kuasa untuk menguatkuasakan akta berkenaan kerana tugas sedia ada di suruhanjaya yang mengendalikan urusan pilihan raya di negara ini tidak boleh dicampur aduk.
“Tidak wajar jika tugas untuk kuat kuasakan Akta Pendanaan Politik diberikan kepada SPR kerana suruhanjaya ini mempunyai tugas utama yang berat untuk menguruskan pilihan raya selain persempadanan kawasan-kawasan.
“Agensi yang paling tepat ialah RoS kerana umum tahu, semua parti politik berdaftar di bawah agensi itu. Maka RoS ada kriteria yang jelas untuk kawal selia perkara ini termasuk perbelanjaan dan juga sejarah akaun.
“Bidang tugas semasa SPR sudah cukup, tidak boleh dicampur aduk. Lagipun, ia merupakan perkara di luar bidang tugas kerana SPR tiada pasukan penguatkuasaan dan tiada kuasa untuk menyiasat apabila berlaku sesuatu kesalahan.
“Ini berbeza dengan RoS yang terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri. RoS ada cara untuk jalankan siasatan termasuk menggunakan kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cakap-cakap bahawa SPR dan SPRM adalah agensi terbaik yang boleh dipertanggungjawab untuk menguatkuasakan Akta Pendanaan Politik di negara ini sekiranya ia diluluskan di Parlimen.
Dengan penguatkuasaannya, SPR boleh menetapkan peraturan tentang sumbangan dan perbelanjaan politik bagi memastikan pilihan raya bersih dan SPRM pula bertindak sebagai pihak yang mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran.
Pada 19 Mei lalu, Perdana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik secara dasarnya dipersetujui untuk dilaksanakan dan skopnya akan dibentang pada mesyuarat jemaah Menteri
Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, beliau percaya, penguatkuasaan Akta Pendanaan Politik mampu memberikan kesamarataan kepada parti politik yang bertanding dalam pilihan raya di Malaysia.
“Sangat wajar untuk Akta Pendanaan Politik ini diperkenalkan, saya sendiri sudah lama bercakap tentangnya. Ia akan memastikan urusan pilihan raya berlaku dengan adil dan kesamarataan gelanggan kepada semua parti,” katanya.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, RUU Berkaitan Sumbangan Politik akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat. – UTUSAN










