BATU PAHAT: Sebanyak RM19.5 juta dana diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada Jabatan Pertanian bagi membangunkan industri tanaman kopi dan kelapa di negara ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM4.5 juta diluluskan untuk projek pembangunan industri kopi, manakala RM15 juta bagi kelapa.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, dana tersebut bagi menyediakan infrastruktur dan fasiliti pengendalian lepas tuai, pembekalan input pertanian, perolehan bahan dan kawalan perosak serta pemindahan teknologi tanaman berkenaan.
“Pada tahun 2020, kawasan penanaman kopi di negara ini adalah seluas 2,200 hektar dan mampu mengeluarkan sebanyak 4,241 tan setahun, manakala tanaman kelapa adalah 84, 942 hektar dengan kemampuan pengeluaran sebanyak 536 juta biji untuk tempoh yang sama,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Kelapa dan Kopi 2022 di Pusat Pertanian Parit Botak, dekat sini hari ini.
Antara negeri utama pengeluaran kopi adalah Sabah, Johor dan Sarawak sehingga mampu mengeksport pelbagai produk berasaskan kopi sebanyak 115,991 tan yang bernilai RM2,02 bilion pada tahun 2020.
Bagi perusahaan kelapa, hingga kini 65.4 peratus keluasan tanaman itu di Semenanjung Malaysia dan 34.6 peratus di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi berkata, sambutan berkenaan diadakan bertujuan untuk menghargai dan meraikan semua yang terlibat dalam industri kelapa dan kopi termasuk petani, pemproses, pengilang dan pengguna. – UTUSAN










