Remaja perempuan maut kereta dirempuh lori - Utusan Malaysia

Remaja perempuan maut kereta dirempuh lori

Keadaan kereta yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 39.7, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, Perak, hari ini.

SUNGAI SIPUT: Seorang remaja perempuan maut dan lima yang lain cedera dalam nahas membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 39.7, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di sini hari ini.

Mangsa yang maut merupakan penumpang kereta Perodua Axia dikenali Nur Aisyah Idris, 18, manakala kakak mangsa berusia 20-an yang memandu kenderaan tersebut dilaporkan cedera.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kemalangan berlaku ketika kereta dinaiki dua beradik itu dalam perjalanan dari arah Sungai Siput ke Kuala Kangsar.

Katanya, semasa berhenti di simpang jalan untuk masuk ke kanan, sebuah lori dari belakang hilang kawalan dan melanggar kereta mangsa.

“Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Honda City dan Perodua Alza.

“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan maut di tempat kejadian manakala kakaknya cedera. Empat penumpang kereta Perodua Alza juga cedera,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 1.53 petang. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN