ReGen Rehab tawar rawatan pemulihan Parkinson percuma

ReGen Rehab tawar rawatan pemulihan Parkinson percuma kepada veteran ATM

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hospital ReGen Rehab menawarkan khidmat rawatan pemulihan percuma penyakit Parkinson kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Hari ATM esok.

Inisiatif itu akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula 16 September hingga 15 Disember 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hanafi Salehuddin berkata, inisiatif ini bertujuan memberi penghormatan kepada kumpulan veteran ATM yang berkhidmat kepada Malaysia sebagai wira barisan hadapan dalam tempoh beberapa tahun lepas.

“Untuk mengenang jasa dan pengorbanan mereka, kami ingin memainkan peranan menyediakan khidmat penjagaan kesihatan yang selayaknya diterima mereka, dengan menghulur tangan kepada pesakit Parkinson untuk membantu mereka berdikari dan kembali kepada keadaan fizikal terbaik.

“Menerusi rehabilitasi yang khusus, terselaras dan sesuai, kami ingin menyokong golongan veteran yang menghidap penyakit Parkinson dengan membantu mereka terus berdikari seberapa lama yang boleh, lantas memulihkan kesihatan dan membina semula kehidupan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

ReGen Rehab merupakan hospital rehabilitasi swasta pertama di Malaysia yang berlesen dengan Kementerian Kesihatan.

Penjagaan rehabilitasi bagi golongan veteran itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab korporatnya.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, inisiatif itu juga sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk menambah baik kesihatan dan meningkatkan capaian kepada penjagaan rehabilitasi berkualiti kepada semua golongan.

“Menerusi inisiatif #MyParkinsonsPartner ReGen Rehab, kami bukan sahaja mahu menggalakkan bekas perajurit kita, tetapi juga orang ramai secara umumnya untuk lebih maklum tentang penyakit Parkinson dan mengambil langkah yang diperlukan untuk memahami dan mengutamakan keperluan fizikal, emosi dan sosial pesakit dan penghidap Parkinson,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Parkinson Malaysia (MPDA), Sara Lew berkata, inisiatif sebegitu sememangnya satu usaha murni yang harus dipuji untuk menabur budi kepada masyarakat terutamanya golongan veteran.

Selain daripada meningkatkan kesedaran tentang penyakit Parkinson, beliau berkata, usaha itu juga memberikan sinar harapan kepada pesakit agar mereka dapat mengembalikan keupayaan bergerak dan menikmati kualiti kehidupan lebih baik menerusi rehabilitasi dan khidmat penjagaan sokongan yang sewajarnya.

“Setiap orang yang menghidap Parkinson mengalami penyakit pada tahap keterukan serta manifestasi gejala motor dan bukan motor yang berbeza-beza.

“Sebaik-baiknya Parkinson didiagnosis lebih awal supaya orang ramai boleh berhubung dengan penyedia perkhidmatan dan kumpulan sokongan yang mempunyai pengalaman menangani penyakit ini, dan juga mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk menguruskan keadaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya