Rapat Mega PKR bermula di Parlimen Gombak, rampas semula kerusi dari Azmin  - Utusan Malaysia

Rapat Mega PKR bermula di Parlimen Gombak, rampas semula kerusi dari Azmin 

FAHMI FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PKR akan memulakan program dinamakan Rapat Mega menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula di tapak bazar Taman Melawati dalam Parlimen Gombak, Ahad ini, pukul 5 petang hingga tengah malam sebelum meneruskannya ke seluruh negara.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, program itu akan memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat sebagai permulaan dalam usaha mengukuhkan jentera parti di semua peringkat.

Katanya, siri rapat itu akan bermula di Selangor bagi menggempur Parlimen Gombak dan Ampang di samping mahu menonjolkan bahawa PKR masih kukuh, kuat, bersepadu dan akan merampas semula kerusi berkenaan.

“PKR akan meneruskan amalan seperti disaksikan pada konvensyen pada 27 Ogos lalu dengan mengangkat suara rakyat dan kita telah kenal pasti dalam beberapa sektor perlu ditonjolkan bagi memberi fokus kepada isu dihadapi rakyat,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR hari ini.

Fahmi tidak menyebut sebarang nama ketika memilih kawasan Parlimen itu sebagai permulaan untuk program berkenaan.

Bagaimanapun, ia merujuk kepada kerusi milik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi punca kejatuhan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Parlimen Ampang pula disandang oleh bekas Ketua Wanita PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin yang turut berkomplot bersama Mohamed Azmin dalam gerakan itu.

Mohamed Azmin kini menganggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Zuraida menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) selepas berada dalam Bersatu.

Fahmi berkata, rapat mega itu kemudian disusuli dengan siri-siri rapat di negeri-negeri lain di seluruh negara yang turut memberi fokus kepada kerusi Parlimen lain yang telah dikhianati wakil rakyat.

Rapat mega itu juga akan dihadiri tokoh-tokoh kanan parti seperti Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden, Rafizi Ramli dan Naib-naib Presiden PKR. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN