PRU15: BN perlu hati-hati pilih isu - Utusan Malaysia

PRU15: BN perlu hati-hati pilih isu

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati memilih isu yang ingin dibawa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi mengelak parti berkenaan terperangkap sehingga gagal menjadi kuasa besar dalam pembentukan kerajaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, BN ketika ini lebih cenderung membawa isu mahkamah dan situasi itu perlu diberikan perhatian kerana dikhuatiri boleh mendatangkan masalah.

“BN kena bijak baca sentimen rakyat, jika rakyat gembira dengan keputusan mahkamah dan dalam masa yang sama BN membawa naratif berbeza, itu tidak boleh berlaku kerana akan memberi kesan besar kepada mereka pada PRU15.

“Kita akui ada faktor simpati dalam politik Malaysia terutamanya melibatkan orang Melayu. Dahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim ada gerakan reformasi yang ketika itu dia kemungkinan dilihat telah dizalimi, maka ada isu simpati yang dimainkan.

“Dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor berbeza kerana ia melibatkan rasuah dan salah guna kuasa. Sekarang terpulang kepada BN sama ada mereka ingin guna isu ini atau tidak untuk elemen simpati.

“BN juga kena fikir, adakah berbaloi untuk menggunakan isu ini. Jangan pula senjata makan tuan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, Najib dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah meminta rasuah berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Sementara itu, ditanya mengenai parti mana yang lebih berpeluang untuk memenangi PRU15, Mohd. Izani berkata, mana-mana parti atau gabungan ketika ini tidak boleh mendabik dada kerana masing-masing mempunyai liabiliti yang perlu diuruskan terlebih dahulu.

“Perikatan Nasional (PN) pula masih tercari-cari gandingan dan sokongan yang lebih kuat.

“Saya juga menjangkakan akan ada satu gabungan baharu untuk membentuk kerajaan selepas PRU15, ini kerana gabungan dan parti sedia ada ketika ini dilihat tidak cukup kuat dan tidak mampu untuk membentuk kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN