PRU15 antara Oktober hingga Disember

PRU15 antara Oktober hingga Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diyakini akan diadakan di antara Oktober hingga Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keyakinan itu berdasarkan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.

Katanya, bayangan diberikan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam adalah petunjuk paling jelas mengenai PRU15 yang dimaklumkan secara umum dalam acara parti.

UMNO
AHMAD MASLAN

“UMNO yakin PRU15 akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan ini (Oktober hingga Disember).

“Cuma kena cuba elak sebelum banjir. Jika banjir Disember, jangan buat (PRU15) Disember. November pun boleh pilihan raya.

“Kalau November pilihan raya, maknanya bubar (Parlimen) Oktober. Pengesahan Perdana Menteri dalam ucapan beliau semalam membolehkan parti membuat persiapan dan mencongak tarikh PRU15,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Sukan Peladang Sempena Hari Malaysia di Kampung Parit Baru, Ayer Baloi, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika melancarkan Jentera Pemuda UMNO, di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, dilaporkan mengulangi pendirian dan janjinya untuk segera berbincang dengan ‘Top Five’ mengenai pembubaran Parlimen.

“Kita sudah hampir ke Pilihan Raya Umum ke-15…. percayalah sikit masa lagi. Saya mendengar dengan jelas (gesaan pembubaran),” kata Perdana Menteri semalam.

Mengulas lanjut. Ahmad turut berkata, pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ UMNO yang dijadualkan pada 30 September ini akan diteruskan.

“Saya yakin ucapan Perdana Menteri semalam itu bertitik tolak dari pertemuan dan rundingan ‘Top Five’ secara tidak rasmi.

“Sebenarnya setiap kali sebelum Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, akan diadakan dahulu mesyuarat ‘Top Five’ diikuti mesyuarat Biro Politik UMNO pada sebelah petang.

“Itu tidak termasuk pertemuan tidak rasmi ‘Top 5’ di luar,” katanya.

‘Top Five’ UMNO merujuk kepada lima kepimpinan tertinggi parti terdiri daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN