PRU15: Amanah sasar bertanding 40 kerusi Parlimen

PRU15: Amanah sasar bertanding 40 kerusi Parlimen

SALAHUDDIN Ayub berdialog dengan orang ramai dalam Program Ramah Mesra Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) meletakkan sasaran untuk bertanding di 40 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, parti kini dalam proses akhir semakan senarai calon untuk dimuktamadkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Beliau yang juga Pengerusi Penilaian dan Pemilihan Calon Amanah Nasional berkata, parti belum menentukan peratusan calon wanita, pemuda dan bahagian yang akan mewakili sayap masing-masing.

“Setakat ini jawatankuasa dipengerusikannya sudah bermesyuarat dua kali baru-baru ini untuk menapis dan menilai senarai calon sebelum mengemukakan senarai yang layak untuk bertanding kepada kepimpinan tertinggi.

“Prosesnya kita sedang menerima pencalonan daripada kawasan-kawasan, bahagian-bahagian dan sayap-sayap wanita dan pemuda. Saya sedang teliti perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama NGO-NGO Melayu di Bandar Baru Uda, di sini hari ini.

Yang turut hadir,  Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof; Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan dan Pemimpin Pesara Guru, Datuk Jemale Paiman.

Salahuddin berkata, sasaran bertanding di 40 kerusi Parlimen pada PRU15 mencatatkan pertambahan berbanding 27 kerusi pada PRU14 dengan meletakkan calon di semua kawasan sama ada di bandar dan kawasan kampung.

Amanah akan meneliti semua aspek dan latar belakang calon termasuk biodata dan rekod pencapaian mereka semasa berkhidmat bagi yang sudah menjadi wakil rakyat.

“Kita tidak memilih kawasan tertentu sahaja, Amanah perlu bertanding di semua kawasan. Untuk masa depan Amanah, kita mesti bertanding di semua kawasan, ada kawasan majoriti dan kawasan campuran, kita akan letakkan calon,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada PRU15, beliau memberitahu, keputusan itu bergantung kepada pucuk pimpinan parti untuk tentukan. 

“Setakat ini, saya masih berusaha sebaik mungkin menyelesaikan isu-isu di Parlimen Pulai ini,” katanya.

Pada PRU14, Timbalan Pengerusi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed buat pertama kali kalah di Parlimen Pulai dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan Salahuddin menang dengan majoriti 28,924 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN