PRU ketika musim banjir, tidak sesuai - Annuar

PRU ketika musim banjir, tidak sesuai – Annuar

ANNUAR Musa beramah mesra bersama pelakon selepas majlis Pelancaran OST dan Treler Filem SERATUS di Kompleks K-KOMM Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Putrajaya. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) ketika musim banjir satu tindakan tidak sesuai kerana menjejaskan perjalanan demokrasi dan peranan kerajaan. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua pihak perlu melihat objektif mengadakan PRU yang mana ia adalah hak rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.

Beliau berkata, apabila mengadakan PRU, aspek kemudahan keluar mengundi, suasana aman dan persekitaran selamat perlu diambil kira.

“Apabila musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu, mesti mahu selamatkan harta, rumah, manakala pengangkutan mungkin jadi payah, hujan sebagainya. Melihat situasi itu, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya?

“Sekiranya kita adakan PRU dalam suasana yang tidak kondusif ia menjejaskan orang keluar undi maka peratusan undi rendah akan membawa imej tidak baik untuk negara dan pembentukan kerajaan kerana ia hanya melibatkan sekumpulan kecil pengundi,” katanya selepas merasmikan majlis Pelancaran OST dan Treler Filem SERATUS di sini hari ini. 

Annuar berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Apabila PRU dilaksanakan musim banjir, sudah pasti peranan kerajaan terjejas kerana kerajaan tak boleh fokus politik dulu,” katanya. 

Ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengenai kesediaan UMNO bertanding musim banjir, Annuar berkata, kenyataan beliau disalah tafsir yang mana ia merujuk kepada kesiapsiagaan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding.

“Saya suka ambil pendirian positif mengenai kenyataan Presiden yang menekankan sudah siap siaganya jentera BN maknanya kalau banjir pun jentera sudah bersedia, tak semesti Presiden maksud nak adakan PRU walaupun banjir. 

“Saya tolong betulkan, ia bukan soal nak PRU masa banjir tetapi mungkin salah ertikan kerana tidak dikeluarkan satu kenyataan dasar,” katanya. 

Sabtu lalu, media melaporkan Ahmad Zahid ketika berucap pada majlis pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, menyatakan BN sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini. 

“Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, sanggup redah banjir untuk bertanding,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN