Polis siasat laporan dera anjing

Polis siasat laporan dera anjing

TANGKAP layar video tular kejadian perselisihan faham dipercayai melibatkan penderaan anjing di Kajang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian tular melibatkan perselisihan faham mengenai penderaan anjing di Bandar Teknologi, Kajang dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, laporan pertama diterima pihaknya daripada seorang wanita pada pukul 11.30 malam Jumaat lalu.

Menurutnya, wanita tersebut melihat perbuatan lelaki melastik anjing liar yang berada di kawasan hadapan rumahnya dan menegurnya.

“Kemudian, suami wanita itu ke rumah lelaki itu untuk menegur dan menasihatinya supaya tidak melakukan perbuatan mendera atau khianat ke atas haiwan menyebabkan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Kerana tidak puas hati wanita terbabit membuat satu laporan polis dan menularkan video yang berkaitan kejadian ini di Facebook,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd. Zaid berkata, laporan polis kedua membabitkan satu video yang turut ditularkan, pada 8.55 malam kelmarin apabila seorang lelaki ke sebuah rumah di Bandar Teknologi Kajang bagi tujuan menasihati jiran supaya tidak menganiaya mahupun mendera haiwan termasuk anjing di dalam kejadian itu.

Ujarnya, video yang memaparkan sekumpulan lelaki mendekati pengadu yang ketika itu memberi nasihat berkenaan layanan baik terhadap haiwan dan tidak melakukan penganiayaan yang bukan sahaja salah daripada sudut agama, tetapi juga undang-undang.

“Kemudian tiba-tiba keadaan menjadi tidak terkawal apabila berlaku kekecohan dan pengadu dicekak di leher baju oleh salah seorang lelaki lain yang tidak puas hati dengannya.

“Pengadu berasa terancam dengan perbuatan lelaki terbabit dan terus membuat laporan polis demi keselamatan diri seandainya ada perkara tidak diingini berlaku,”ujarnya.

Susulan itu, tambahnya, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan/233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman tiga tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Untuk kes kedua disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan / 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat kes Inspektor Muhamad Ali Hamzah di talian 019-8660324 bagi membantu siasatan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya