KOTA BHARU: Tempoh tahanan reman ke atas suami peniaga kosmetik ‘online’ yang diculik oleh tiga lelaki di rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat pada Selasa lalu disambung selama tiga hari lagi sehingga 20 September ini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perintah sambungan tahanan reman bermula hari ini itu diluluskan Mahkamah Majistret Tumpat bagi membantu siasatan lanjut berhubung kehilangan wanita berkenaan yang dikenali sebagai Azi, 36.
“Selain suami mangsa, tahanan reman itu turut disambung ke atas dua lagi suspek termasuk seorang wanita.
“Sebelum ini, kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula Rabu lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Muhamad Zaki memberitahu, kes di siasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.
Katanya, polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan pihak polis berhubung kes tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat, Asisten Superintenden Md. Sani Md. Saleh di talian 012-921 6944 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd. Yudi Mohd. Yusuf di talian 012-968 9698,” jelasnya.
Utusan Online 15 September lalu melaporkan, polis mendedahkan kes penculikan melibatkan seorang ejen jualan kosmetik di rumahnya di Kampung Semat Jal mempunyai kaitan dengan sindiket dadah.
Rosnazirah Mohd. Naim, 36, didakwa dilarikan tiga lelaki dengan menggunakan sebuah kereta jenis Toyata Vios berwarna perak. – UTUSAN