BENTONG: Polis menafikan rakaman video tular yang mendakwa berlaku rompakan di pusat peranginan Genting Highlands melalui akaun TikTok milik ‘@5ZONESMALAYSIA’.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, antara kenyataan bahasa Hokkien dalam Tik Tok itu menyebut: “kasino tidak dapat masuk, orang dalam kasino tidak dapat keluar, pintu kasino dikunci. Tidak tahu apa yang terjadi, mungkin berlaku kes rompak atau kebakaran”
“Apa yang berlaku tidak dapat dipastikan. Ramai yang sesak di luar pintu kasino, nak balik ke stesen kereta kabel pun tak boleh. Semua jalan keluar masuk ditutup, orang yang nak tempah bilik pun tidak dapat disebabkan semua kaunter tutup,” kata dalam kenyataan.
Zaiham berkata, Tik Tok itu juga menyebut: “Ada operasi hari ini, semua orang dalam kasino tidak dapat keluar, manakala orang di luar kasino tidak dapat masuk. Tidak tahu apa yang berlaku”.
Ekoran itu, katanya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima atau dibuat oleh mana-mana pihak berkaitan insiden tersebut.
“Kita (Polis) telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tidak berlaku kejadian rompakan sebagai mana yang didakwa menerusi video atau audio yang ditularkan.
“Saya memohon kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan sesuatu yang boleh menimbulkan kegusaran atau menjejaskan ketenteraman awam,” ujarnya.
Sementara itu, Resorts World Genting dalam kenyataannya berkata, pada 30 Ogos lalu, pukul 1.30 tengah hari alat penggera kecemasan kebakaran di laluan masuk SkyCasino mengalami kerosakan berikutan amaran palsu kebakaran.
“Perkara itu telah diselesaikan dalam tempoh 15 minit,” kata kenyataan itu. – UTUSAN