KUALA LUMPUR : Video pendedahan gangguan seksual melibatkan pelakon remaja perempuan melalui video program broadcast di YouTube akan diteliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sama ada wujud unsur-unsur jenayah atau sebaliknya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada pelakon remaja tersebut.
“Ya, setakat ini kita belum menerima sebarang laporan daripada beliau. Saya sendiri pun belum tengok video temu bual terbabit, saya tahu pun apabila diberitahu oleh pemberita.
“Namun begitu, kita akan semak dan teliti video tersebut, jika ada sebarang elemen-elemen jenayah kita akan siasat,” katanya selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Utusan Malaysia melaporkan Polis akan mengambil keterangan seorang pelakon remaja dalam masa terdekat berhubung pendedahannya pernah menjadi mangsa gangguan seksual bapa ketika berusia lima tahun.
Satu sumber memberitahu Utusan Malaysia, selain pelakon remaja berkenaan, turut dipanggil adalah produser laman sosial laman Youtube yang terlibat dalam pendedahan berkenaan.
Terdahulu, pelakon remaja berusia 15 tahun menjadi tetamu jemputan dalam satu program ‘broadcast’ di YouTube baru-baru ini bagi berkongsi tentang kisah hidupnya.
Dalam program itu, remaja berkenaan membuat pendedahan dengan mendakwa menerima gangguan seksual daripada bapanya sendiri ketika kecil selain mendakwa bapanya memperlakukan ibunya dengan teruk.
Susulan pendedahan itu, bapanya membuat laporan di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, kelmarin. – UTUSAN










