PETALING JAYA : Polis masih melengkapkan kertas siasatan kes kebocoran keputusan penghakiman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor selepas ia dikembalikan semula bulan lalu.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya sedang mendapatkan beberapa maklumat tambahan yang diperlukan daripada saksi-saksi yang dipanggil sebelum ini.
Kata beliau, sebaik ia dilengkapkan, kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kembali kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.
“Kita masih lengkapkan maklumat tambahan yang diperlukan,” katanya di sini semalam.
Minggu lalu, kertas siasatan berkenaan yang diserahkan kepada TPR pada 30 Ogos lalu dipulangkan semula kerana mahu polis melengkapkan beberapa perkara.
Justeru itu, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan terbabit secepat mungkin dan jika ada keperluan kemungkinan keterangan semua saksi yang dipanggil sebelum ini akan diambil semula.
Terdahulu, seramai 27 saksi sudah diambil keterangan iaitu 17 individu membabitkan kebocoran keputusan penghakiman Najib dan 10 lagi membabitkan Rosmah.
Antara saksi yang diambil keterangan adalah pegawai mahkamah bagi membantu siasatan ke atas dakwaan draf penghakiman bocor mengenai kes rasuah Rosmah.
Kenyataan itu diambil daripada kakitangan bahagian penyelidikan mahkamah dan Hakim Zaini Mazlan yang mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Pada 29 Ogos lalu, blogger Raja Petra Kamarudin berkongsi dokumen itu dengan mendakwa keputusan penghakiman yang mendapati isteri bekas perdana menteri itu bersalah sudah ditulis. –UTUSAN










