Polis berkas remaja lakukan aksi bahaya, sita 23 motosikal

Op Samseng Jalanan: Polis berkas remaja lakukan aksi bahaya, sita 23 motosikal

TAN Cheng San (tengah) menunjukkan gambar sebahagian motosikal yang disita dalam Op Samseng Jalanan baru-baru ini dalam sidang akhbar di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti lumba haram dan aksi bahaya dalam Op Samseng Jalanan di kawasan Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE), malam Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, remaja itu ditahan selepas dikesan menunggang secara berbahaya termasuk membongkokkan badan serta melakukan aksi ‘zig-zag’ ketika berada di atas motosikal.

“Suspek juga telah direman selama empat hari bermula semalam dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Cheng San berkata, selain remaja terbabit, pihaknya turut menahan seorang penunggang motosikal untuk disoal siasat kerana telah membawa dan memiliki sejumlah air ketum.

Secara keseluruhannya kata beliau, sebanyak 23 buah motosikal pelbagai jenis telah disita manakala 134 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Dalam hal ini, polis menasihatkan orang ramai khususnya para remaja supaya tidak melibatkan diri mereka dengan aktiviti lumba haram.

“Aktiviti itu bukan sahaja boleh membahayakan nyawa mereka, tetapi turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain pada masa yang sama, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN