PM  tiba di New York untuk sertai UNGA77

PM  tiba di New York untuk sertai UNGA77

ISMAIL Sabri Yaakob tiba di hotel kediaman di New York, Amerika Syarikat bagi menyertai UNGA Ke-77.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di hotel kediaman di New York, Amerika Syarikat (AS) kira-kira 5.20 pagi ini untuk mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 selama tiga hari.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohamed Zin dan para pegawai Pejabat Perwakilan Tetap ke PBB dan Kedutaan Malaysia di AS.

Beliau akan menyertai pemimpin dunia dari lebih 150 negara yang mula tiba di bandar itu pada Selasa lalu selepas pandemik Covid-19 membuatkan mereka terpaksa berucap pada perhimpunan tahunan itu secara maya sejak dua tahun lepas.

Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara semasa sesi debat umum pada Sabtu ini serta berucap pada hari  sama dengan pemimpin tertinggi Palestin, Thailand, Kemboja, Iraq, Greece dan Bangladesh.

Sebelum ini, Kementerian Luar dalam kenyataannya memaklumkan, Ismail Sabri dijangka mengetengahkan isu-isu berkaitan cabaran dan konflik global seperti Covid-19, situasi di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tindakan iklim serta pembangunan mampan selari dengan tema debat umum sesi ke-77 iaitu ‘Detik Peralihan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’.

Sepanjang berada di New York, beliau akan menyaksikan pemeteraian empat perjanjian melibatkan memorandum persefahamam (MoU) antara Malaysia dan Palestin.

Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawat di UNGA77 untuk membincangkan isu berkepentingan bersama. 

Terdahulu Ismail Sabri dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini, memohon Keluarga Malaysia mendoakan keselamatan perjalanannya bagi mengetuai delegasi Malaysia ke UNGA.

“Saya akan menyuarakan pendirian Malaysia berhubung isu sejagat yang memberi kesan kepada kehidupan keluarga dunia. 

“Dalam masa yang sama, saya akan bertemu beberapa pemimpin dunia. Insya-Allah, segala hasil perbincangan ini akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN