KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempertimbangkan cadangan pelaksanaan moratorium khas bagi sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).
Katanya, beliau akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan beberapa kementerian terlibat sebelum membuat keputusan.
“Kita bincang, saya tak boleh jawab macam itu sahaja.
“Kita akan bincang dengan Kementerian Kewangan, dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kita bincang dulu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Bioteknologi Negara 2.0.
Beliau mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin, memandangkan sektor itu masih belum pulih sepenuhnya.
Katanya, cadangan itu juga berdasarkan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR), memaksa pengusaha menanggung beban hutang yang lebih tinggi dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih.
“Sektor PMKS penting kerana ia mewakili hampir 96 peratus kegiatan ekonomi negara. Ramai rakyat yang bergantung kepada sektor ini untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan. Hampir 50 peratus tenaga kerja di Malaysia bekerja dalam sektor ini.
“Seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian pun. Jadi apalah salahnya kerajaan sekali lagi berbincang dengan institusi-institusi kewangan supaya memperkenalkan moratorium khas untuk PMKS.
“Saya harap cadangan ini diberikan perhatian serius oleh kerajaan,” katanya baru-baru ini. –UTUSAN










