JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri perlu berunding dengan pihak pembangkang menerusi jawatankuasa dwipartisan bagi melaksanakan Enakmen Anti Lompat Parti di peringkat negeri.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Liew Chin Tong berkata, ini bagi memudahkan usaha bagi meminda Undang-Undang Tubuh Negeri demi pelaksanaan akta tersebut selepas pindaan di peringkat Persekutuan.
“Sebelum hari Khamis yang lalu (Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor), kerajaan negeri tidak menyatakan apa-apa pendirian mengenai Akta Anti-Lompat Parti.
“Kerajaan negeri Johor perlu lebih proaktif dalam pembentangan dan mendapatkan kelulusan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Adalah wajar untuk kerajaan negeri berunding dengan pihak pembangkang melalui jawatankuasa dwipartisan, terutamanya sebelum membuat pindaan yang begitu penting terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri Johor,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.
Khamis lalu, DUN Johor secara majoriti menolak cadangan pembangkang supaya rundingan dibuat bagi penubuhan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti.
Speaker DUN Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi memaklumkan, seramai 37 ADUN tidak bersetuju terhadap cadangan, manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.
Rundingan bagi mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti dibawa itu oleh Marina Ibrahim (PH-Skudai).
Dua ADUN pembangkang, iaitu Amira Aisya Abd. Aziz (Muda-Puteri Wangsa) dan Arthur Chiong Sen Sern (PKR-Bukit Batu) tampil berbahas menyatakan sokongan, manakala dua ADUN BN, iaitu Anuar Abd. Manap (Pemanis) dan Sharifah Azizah Syed Zain (Mahkota) membantah cadangan terbabit.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad menyifatkan tiada keperluan mewujudkan sebuah jawatankuasa pilihan khas peringkat negeri untuk menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti-Lompat Parti.
Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor berkata, tindakan yang diambil pihak kerajaan itu bukanlah contoh budaya politik matang apabila bermusuhan dengan pembangkang.
“Pihak sebelah sana tidak perlu bermusuhan dengan pihak pembangkang. Sekiranya BN yang memegang majoriti dua pertiga di DUN Johor boleh menghormati dan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak pembangkang, tentunya BN Johor akan menjadi teladan dan pelopor budaya politik matang,” ujarnya. – UTUSAN










