PH jangka selesai rundingan kerusi menjelang 30 September

PH jangka selesai rundingan kerusi menjelang 30 September

RAFIZI Ramli ketika ditemui pemberita pada sesi pemukiman PH yang diadakan di sebuah hotel di Seremban hari ini. - FOTO/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menyasar untuk menyelesaikan isu rundingan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam kalangan empat parti itu menjelang 30 September ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, setakat ini, rundingan pembahagian kerusi di antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) telahpun selesai dan dimuktamadkan di enam buah negeri.

“Kami sudah selesai hampir enam negeri, cuma belum umum sahaja lagi, sasaran untuk menyelesaikan semua rundingan kerusi menjelang 30 September. Mana negeri itu, nanti tunggu pengumuman, setakat ini soal rundingan kerusi, berjalan cukup baik.

“Soal calon pula adalah keputusan parti masing-masing, di peringkat PH mengenai rundingan kerusi, apabila sudah pasti, parti ini bertanding di kerusi ini, akan ditentukan calonnya, itu prosesnya,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi pemukiman PH di sebuah hotel di sini hari ini.

Mengenai rundingan kerusi itu juga, beliau menambah, setiap parti kali ini akan mendapat tambahan kerusi untuk ditandingi mengambil kira kerusi-kerusi yang telah ditinggalkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Semua parti akan mendapat pertambahan kerusi, sebab pendekatannya adalah, kami agihkan 52 buah kerusi di Semenanjung itu yang dahulu ditandingi oleh Bersatu kepada tiga parti di Semenanjung,” katanya.

Rafizi dalam pada itu berkata, PKR akan menyelesaikan soal calon untuk mewakili parti itu selewat-lewatnya pertengahan bulan Oktober dengan turut mengambil kira kemungkinan pembubaran Parlimen dan PRU15 diadakan dalam tempoh masa terdekat itu.

Keputusan memanggil pilihan raya itu adalah keputusan Perdana Menteri, tetapi pada peringkat PH dan PKR, kami mahu bersiap sedia 100 peratus bermula 1 Oktober. Maksudnya (jika) bubar Oktober, kami akan bersedia seperti mana kami bersedia pada tahun 2018.

“Cuma saya pernah sebut, memanggil pilihan raya, pada bulan november adalah musim tengkujuh, pada pandangan kami sepatutnya kita lalui musim tengkujuh, bencana ini dahulu.

“Tetapi pada masa yang sama (kami) tidak mahu UMNO gunakan kesempatan itu, sementara sibuk bersedia pasal tengkujuh dan banjir, panggil pula pilihan raya, kami pastikan urusan persiapan itu diselesaikan menjelang 1 Oktober,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN